top of page

SEJARAH IPG KPT

Maktab Perguruan Teknik (MPT) yang kini dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Teknik telah ditubuhkan pada tahun 1962 mengikut syor Penyata Pelajaran Razak 1956 dan Laporan Rahman Talib 1960 untuk membangunkan program latihan perguruan dalam bidang teknikal bersama-sama dengan kemudahan yang serba lengkap. MPT ditubuhkan hasil daripada bantuan dan kerjasama daripada kerajaan Kanada di bawah Rancangan Colombo.

 

MPT pada mulanya ditempatkan di Maktab Perempuan Melayu di Jalan Damansara, Kuala Lumpur. Kumpulan pelatih yang pertama ialah kumpulan ambilan Mei 1962 dengan bidang pengkhususan Seni Perusahaan untuk sekolah menengah rendah. Kumpulan pelatih ini diajar oleh kedua-dua pakar dari Kanada dan pensyarah tempatan yang dilatih khas di Kanada. Kerja-kerja pembinaan untuk kampus MPT di Jalan Tenteram (kini Jalan Yaacob Latif), Bandar Tun Abdul Razak, Kuala Lumpur bermula pada tahun 1965. Kompleks bangunan kampus ini terdiri daripada blok pentadbiran, dewan kuliah, bengkel-bengkel, asrama, dan dewan besar. Pembinaannya siap pada tahun 1967 dan dirasmikan oleh Dato’ Khir Johari, Menteri Pelajaran Malaysia pada masa itu.

 

Pada tahun 1969, MPT telah berkembang lagi untuk menampung program latihan perguruan dalam bidang pertukangan akibat daripada penutupan Maktab Perguruan Pertukangan di Kuantan, Pahang. Kemudian, pada tahun 1971, Jabatan Pengajian Perdagangan Maktab Perguruan Ilmu Khas (MPIK) telah dipindahkan ke MPT. Dengan itu, MPT sekarang mengendalikan tiga kursus pra-perkhidmatan, iaitu Kursus Seni Perusahaan, Kursus Pertukangan, dan Kursus Pengajian Perdagangan. Lulusan Kursus Pertukangan ditempatkan di sekolah menengah vokasional manakala lulusan Kursus Seni Perusahaan dan Kursus Pengajian Perdagangan ditempatkan di sekolah menengah akademik.

 

Pada tahun 1978, MPT telah mula melaksanakan kursus satu tahun bagi melatih lulusan Pengajian Perdagangan dari Politeknik Ungku Omar, Ipoh dalam bidang keguruan. Lulusan kursus ini kemudiannya ditempatkan di sekolah menengah akademik untuk mengajar Tingkatan 4 dan 5.

 

Kompleks Pusat Sumber siap dibina dan mula digunakan sepenuhnya pada pertengahan tahun 1981. Satu blok asrama yang boleh menampung 120 pelatih dan sebuah astaka sukan telah siap dibina pada tahun 1984. Pada tahun 1990, kursus Ekonomi Rumah Tangga telah dipindahkan ke MPT dari MPIK. Hal ini sangat bersesuaian dengan objektif menyatukan jurusan teknik dan vokasional. Seterusnya, selaras dengan pelaksanaan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM), maka kursus Kemahiran Hidup juga dimulakan di MPT pada tahun yang sama.

 

Pada hujung tahun 1995, kursus Sains, Matematik, dan Teknologi Maklumat telah dimulakan di MPT. Selain program pra-perkhidmatan secara sepenuh masa, MPT juga mengendalikan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI) secara Kursus Dalam Cuti khusus untuk tenaga pengajar Politeknik dan Kolej Komuniti dan juga KPLI secara mod Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (LPBS). Apabila IPGM melaksanakan Program Khas Pensiswazahan Guru (PKPG) dengan universiti tempatan, MPT juga tidak ketinggalan mengendalikan program tersebut dengan UTM, UPM, UiTM, dan UUM.

 

Pada 13 Julai 2005, Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan menaik taraf semua maktab perguruan kepada Institut Pendidikan Guru (IPGM) di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia untuk melaksanakan program ijazah Sarjana Muda Perguruan sepenuhnya. Justeru, Maktab Perguruan Teknik telah dinaik taraf menjadi Institut Perguruan Teknik. Pada tahun 2009, Insitut Perguruan Teknik dikenali sebagai Institut Pendidikan Guru, Kampus Pendidikan Teknik.

 

Bermula pada 1 Januari 2013, IPG Kampus Pendidikan Teknik telah beropersi di tempat baharu iaitu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan. Kampus baharu ini telah dilengkapi dengan bilik-bilik kuliah yang moden untuk memudahkan pengajaran dan pembelajaran terkini serta kemudahan penyelidikan. Di samping itu, terdapat juga perpustakaan yang serba canggih untuk kemudahan warga kampus. Pelajar-pelajar juga diberi kemudahan mengakses internet. Setiap pensyarah disediakan sebuah bilik yang telah dilengkapi dengan kemudahan ICT. Semoga perpidahan Kampus Pendidikan Teknik di Cheras ke Bandar Enstek Negeri Sembilan akan menjadi institut ini lebih gemilang dalam melahirkan bakal guru yang akan menangani masa depan pendidikan yang lebih mencabar.

bottom of page